Photobucket - Video and Image Hosting

Monday, May 01, 2006

BERFIKIR MELANGKAUI ZAMAN

Perkembangan Teknologi dan dunia cyber

Kepesatan perubahan dunia sentiasa bertambah dari hari ke hari. Pelbagai perkakasan berteknologi dihasilkan untuk kemudahan dan keselesaan manusia melakukan aktiviti mereka. Kalau dahulu, sebuah komputer peribadi hanya mempunyai kelajuan 100 kilobytes sesaat, sekarang sudah ada yang berkelajuan 1 gigabytes, bahkan lebih dari itu. Jika tiga tahun lepas, melayari internet selaju 56 kilobytes persaat sudah cukup pantas, namun sekarang kita sudah boleh memindahkan data sebesar 10 megabytes persaat tanpa wayar!Itu tidak termasuk teknologi dalam bidang-bidang yang lain; pengklonan organisma, pemetaan genetik, pembinaan stesen angkasa, penerokaan marikh, penghasilan enjin wap air berkuasa tinggi dan banyak lagi.

Kenapa ia cukup signifikan untuk dibincangkan? Ianya penting kerana ia akan mengubah dunia dan manusia yang menghuninya. Apabila teknologi digunapakai, corak aktiviti manusia akan berubah. Jika dahulu sindrom down menjadi mimpi seram kepada ibubapa, namun dengan teknologi peta genetik, ia akan dapat diatasi. Begitu juga dengan soal pengurusan. Jika dahulu memberi tugasan kepada orang bawahan dilakukan secara manual dan memakan masa, namun sekarang seorang pengurus boleh memindahkan data setebal sejuta mukasurat daripada Ulu Tembeling kepada rakan niaganya di Havana, hanya dalam masa tak sampai setengah minit.Fenomena ini sedang berlaku dan bukannya fantasi

Apabila corak aktiviti manusia berubah, maka gaya hidup pun akan berubah. Apabila gaya hidup berubah, nilai dan sikap manusia pun akan berubah. Akhirnya golongan muda hari ini akan berhadapan dengan dunia yang berlainan sama sekali. Ini merupakan satu hakikat yang mesti disedari dan dihayati oleh golongan muda supaya mereka tidak ketinggalan daripada arus perdana sejagat.

Cabaran

Cabaran yang bakal ditempuhi oleh generasi hadapan sudah pasti akan berbeza daripada apa yang ada sekarang. Dalam era globalisasi, penguasaan maklumat dan pasaran sangatlah penting. Kemajuan Barat sudah melakukan banyak persediaan untuk itu. Dari segi maklumat, satelit-satelit dilancarkan, pengetahuan dipercambahkan, kajian dipertingkatkan, dan lain-lain. Dari aspek pasaran, teknologi Barat sudah pun memulakan idea specific advertisement (promosi khusus) yang dapat dilihat dalam penggunaan kain rentang maya (virtual banner) dalam halaman-halaman web. Dalam teknologi ini, kain rentang maya akan muncul pada skrin komputer peribadi anda mengikut hobi dan aktiviti kegemaran anda, walaupun anda tidak pernah mendedahkannya kepada pengiklan. Ini adalah semata-mata untuk mempengaruhi pengguna dan memperluaskan pasaran secara effektif dan ekonomik.

Golongan belia hari ini mestilah memahami perkara ini dan memikirkan bentuk cabaran yang bakal ditempuhi. Setelah mendapat kefahaman, belia mestilah mencari penyelesaian dan bersiap untuk itu. Paradigma mesti dianjak dan pemikiran mereka mestilah melangkaui zaman.

Ada dua cabaran utama yang akan ditempuhi oleh generasi belia pada masa akan datang.

Cabaran yang pertama ialah, bagaimana untuk menghadapi hambatan teknologi dan ketamadunan Barat (western civilization).

Cabaran yang kedua pula ialah; untuk membina sebuah negara yang maju dengan acuan dan jatidiri yang tersendiri.

Hambatan kemajuan barat pada hari ini sememangnya terlalu besar dan bermomentum tinggi. Hasilnya, banyak nilai dan corak daripada barat dibawa masuk yang ada di antaranya bertentangan dengan moral dan kepercayaan timur. Namun kita tidak boleh memencilkan diri daripada arus sejagat yang berlaku sekarang. Memencilkan diri bermakna kita undur ke belakang. Eropah hanya mampu keluar daripada Zaman Gelap (Dark Ages) apabila mereka keluar daripada pemencilan dan bersama dengan arus sejagat. Zaman Gelap berjaya dikuburkan apabila masyarakat Eropah pada waktu itu mempelajari dan mengkaji ketamadunan Islam. Di Andalus, orang-orang Eropah belajar tentang kimia dan fizik di Cordova dan Sevilla; di Eropah timur, mudejar-mudejar Islam mengajar pelbagai ilmu yang penting. Selain itu, Eropah jua telah banyak belajar daripada tamadun Islam semasa beberapa episod Perang Salib.

Cabaran yang kedua ialah untuk membina ketamadunan dengan acuan kita sendiri. Ini ialah satu cabaran yang sangat besar dan jauh. Ada beberapa langkah yang perlu dilaksanakan dalam proses untuk mencapai tahap ini. Pertama, dengan mempelajari, menguasai dan mendalami teknologi terkini yang terdapat di dunia sekarang. Kedua, dengan memperkembangkan teknologi tersebut dengan inovasi-inovasi baru. Yang ketiga, meneroka bidang dan penemuan baru. Untuk mencapai kesemua ini, usaha pemindahan teknologi sangat penting. Selain itu, kemampuan negara dalam bidang penyelidikan dan pembangunan mestilah digempur dan diperancakkan.

Mahasiswa tidak boleh ketinggalan

Kita telah ketinggalan ketika Revolusi Perindustrian sedang rancak di Eropah pada kurun ke 17 Masehi. Ketika James Watt memperkenalkan beberapa kaedah penting matematik dan mencipta model baru enjin keretapi, dunia timur sedang nazak dengan perpecahan dan penjajahan. Ketika pelbagai jentera dicipta oleh Volswagen, Mercedes, dan Ford di pertengahan kurun ke 20, dunia timur masih disibukkan dengan agenda kemerdekaan. Akibatnya, kita telah ketinggalan satu tempoh yang cukup penting dalam perubahan arus dunia. Kita tidak boleh ketinggalan sekali lagi. Kini dunia bersiap dengan era globalisasi dan industri berasaskan pengetahuan serta maklumat. Jikalau kita masih lagi berfikiran di takuk lama, Barat akan terus ‘menjajah’ pemikiran dan harga diri kita. Golongan mahasiswa dan belia mesti memulakan kesedaran ini. Keluar dari kepompong dan melihat ruang yang terbentang luas untuk diterokai bersama.

Comments:
"Kadangkala perkara tercantik dan terbaik di dunia tidak boleh dilihat, dipegang. Namun begitu ia boleh dirasai dalam hati dan perkara tercantik itu adalah akhlak yang mulia"

tahniah kotaro minami..
ana teruja dengan template web ini..
menarik..

apatah lagi artikelnya yang sangat berilmiah..
tahniah ana ucapkan!
teruja melihat dan ingin melawatnya selalu..

harapnya kotaro minami senantiasa tekal dalam menulis..

bak kata semangat :

aja..aja..fighting!
(berusaha..terus berusaha..go..go.. kotaro minami!)

(anjang)
http://alhuzaifah.blogspot.com
 
Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?