Photobucket - Video and Image Hosting

Tuesday, June 13, 2006

PESAN NAJIB KEPADA MAHASISWA

"Datuk Seri Najib Razak menasihatkan pelajar Malaysia di luar negara supaya tidak menghabiskan tempoh pengajian mendapatkan ijazah, tanpa berusaha menggarap kepemimpinan berkualiti yang mempunyai nilai tambah bagi menyumbang kepada kelahiran negara Malaysia maju dan istimewa menjelang 2020." - Najib Tun Razak, Berita Harian, 12 Jun 2006

Apa maksud Najib?

Apa yang beliau maksudkan ialah mahasiswa tidak boleh hanya menjadi 'ulat buku' tanpa memikirkan apa yang berlaku di persekitaran mereka samada secara domestik mahupun antarabangsa. Mahasiswa juga mesti menerobos keluar dari dewan kuliah serta kelas tutorial dan turun ke medan masyarakat. Dengan pelbagai pengalaman yang digarap, ia akan dapat membentuk daya kepemimpinan yang matang dan progresif. Definisi ini diperkuatkan dengan kenyataan Najib iaitu:


"Negara amat memerlukan pelajar memiliki ciri-ciri kepemimpinan dan ia diperoleh menerusi pengalaman dan penghayatan kepada keadaan sekeliling sepanjang mengikuti proses pendidikan sehinggalah ke luar negara..."

"Ingatlah, jangan jadi pelajar yang hanya tahu menghabiskan tempoh pengajian hanya untuk memperoleh ijazah tanpa melihat dan menghayati keadaan sekeliling di tempat kita belajar."

"Pengalaman dilalui ketika proses pembelajaran akan menjadikan kita pemimpin lebih istimewa dan berjaya dalam apa juga bidang diceburi, tidak semestinya dalam dunia politik dengan sasaran menjadi menteri saja..."


Nasib mahasiswa Malaysia

Sungguh berharga nasihat yang disampaikan oleh Najib. Itulah harapan Najib kepada mahasiswa Malaysia yang menuntut di luar negara dan tidak kurang juga di Malaysia. Mahasiswa 'harapan' yang dinyatakan oleh Najib mendapat layanan istimewa oleh kerajaan Malaysia. Contohnya;

1. 1971 merupakan tahun penting kepada mahasiswa apabila Akta Universiti dan Kolej Universiti diperkenalkan. 1975 juga amat penting kerana AUKU dipinda agar lebih ketat. Mahasiswa tidak boleh menyertai, simpati atau apa jua bentuk sokongan kepada mana-mana parti politik atau pertubuhan di luar universiti. Mahasiswa juga dikenakan hukum gantung pengajian jika dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan jenayah walaupun belum didapati bersalah (bertentang dengan prinsip Natural Justice).

2. Rizal Anan: Mahasiswa UUM digantung pengajian kerana mengkritik pentadbiran universiti menjeput Astora Jabat sebagai panelis forum agama anjuran universiti.

3. 1998, Borhan Che Daud, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UM dihadapkan ke mahkamah univesiti dengan 13 pertuduhan rentetan daripada tindakan beliau mengetuai mahasiswa menyerahkan memorandum kepada Pak Lah di hadapan Dewan Tunku Chancelor.

4. 2001, 7 orang mahasiswa digantung pengajian walaupun belum didapati bersalah oleh mahkamah atas tuduhan menyertai perhimpunan haram. Mahasiswa yang dikenali sebagai ISA7 masih digantung tidak bertali hingga ke hari ini walaupun mahkamah telah memutuskan mereka sebagai tidak bersalah.

5. Tahun ini juga, 2 orang aktivis mahasiswa, Fuad Ikhwan (Presiden MPMUM) dan Jonah ditahan di bawah ISA kerana disyaki terlibat dalam gerakan bawah tanah menentang kerajaan.

6. Bermula tahun 2003, pilihanraya kampus menjadi hambar dan lesu kerana dikongkong oleh pentadbiran universiti. Poster tidak boleh dihasilkan sendiri kecuali melalui HEP, mahasiswa tidak boleh bertanding berkumpulan (walaupun sejak 2004 muncul kumpulan Aspirasi), tempoh kempen tidak melebihi 48 jam dsb.

7. 2004, Solidariti Mahasiswa Malaysia yang menggabungkan pelbagai front mahasiswa dari pelbagai latarbelakang agama, politik dan pertubuhan membuat deklarasi 2004 sebagai Tahun Gelap Mahasiswa kerana lebih 40 orang mahasiswa menjadi mangsa AUKU.

8. 2005, walaupun AUKU yang mendapat tentang dari mahasiswa, ahli akademik, aktivis sosial dan parti politik sejak 1971, namun Najib Tun Razak mengumumkan kata putus bahawa ia tidak akan dipinda sampai bila-bila.

Najib berkata;

"Anda boleh menyediakan diri untuk menjadi pemimpin yang memiliki kualiti kepemimpinan dalam apa juga bidang. Anda yang bertanggungjawab membawa Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju dan istimewa."

Di luar negara, mungkin tidak mustahil. Tetapi Malaysia, mungkin Najib mahukan mahasiswa seperti berikut;

1. Sokong, puji dan ampu kerajaan. Jika ada yang lantang mengkritik, mereka adalah pengkhianat bangsa dan negara. Mereka tidak bersyukur kepada kerajaan yang memberikan pinjaman, memberikan jalan raya, menyediakan universiti dan macam-mcam lagi kurniaan kerajaan.

2. Jangan terlibat dalam aktiviti sosial. Banyakkan terlibat dalam aktiviti hedonisma kerana ia tidak akan menggugat kedudukan parti pemerintah.

3. Jangan terlibat dalam kegiatan politik mahasiswa. Jika terlibat, mahkamah universiti sedia menanti. Anda akan digantung atau dibuang pengajian.

4. Bersikap liberal. Agama adalah hak masing-masing. Tak perlu jaga tepi kain orang. Orang nak pakai tudung, nak buka sana-sini ker, itu hak individu. Yang penting, jangan kriktik kerajaan.

5. Mahasiswa yang tidak mempedulikan apa yang berlaku dalam perkembangan negara mahupun antarabangsa. Kerajaan hendak naikkan harga minyak, naikkan tarif letrik, rasuah... itu hak kerajaan. Mahasiswa tidak perlu ambil tahu.

Kitaro mengkagumi nasihat Najib kepada Mahasiswa di Bangalore tempoh hari. Tapi ingat, itu hanya untuk mahasiswa di Bangalore. Mahasiswa Malaysia, jangan nak pandai-pandai...

Baca juga:
  • Pesan Najib


  • Comments: Post a Comment



    << Home

    This page is powered by Blogger. Isn't yours?