Photobucket - Video and Image Hosting

Sunday, June 18, 2006

RE-OPEN: KEDAULATAN AFGHANISTAN DAN ISU UNDANG-UNDANG

Jika suasana terkini menjadi hangat kerana pendedahan Re-Open berkenaan penipuan pentadbiran Bush rentetan peristiwa 11 September yang mengakibatkan dunia Islam terpaksa menerima akibatnya, maka penulis terpanggil untuk mengimbas kembali kezaliman Amerika yang bukan sahaja mencabul undang-undang kemanusiaan, malah Negara yang mendakwa sebagai raja demokrasi ternyata melanggar prinsip undang-undang antarabangsa.

Tidak sampai setahun dunia menjengah alaf kedua, satu lagi siri peperangan meletus antara dua kuasa dunia; Amerika-Britain, dengan sebuah negara termiskin dunia; Afghanistan. Taliban, sebuah kerajaan yang menguasai 90 peratus dari negara itu diiktiraf secara rasmi oleh hanya tiga buah negara; menjadikan perang baru ini menjadi satu episod pertarungan yang kelihatan seperti berat sebelah, umpama harimau mencengkam kucing, ayam tarung menaji merpati.

Namun dalam tulisan ini penulis berminat untuk membicarakan beberapa isu perundangan yang boleh dibangkitkan dalam kontroversi yang berlaku sekarang ini. Walaupun tidak ditulis secara detail dan kukuh, namun sekurang-kurangnya pembaca semua dpaat sedikit sebanyak gambaran mengenai isu-isu perundangan yang berlingkaran di sekitar konflik yang terbaru ini.

1. Adakah Afghanistan sebuah negara yang sah dan diiktiraf?

Pertamanya kita perlu mengetahui bahawa pengiktirafan sebuah negara dan pengiktirafan sebuah kerajaan adalah dua perkara yang berbeza. Pengiktirafan negara adalah suatu proses di mana dunia memperakui kewujudan negara tersebut sebagai sebuah negara yang sah, yang memiliki ciri-ciri sebuah negara. Artikel 1 Montevideo Convention on Rights and Duties 1933 meletakkan 4 kelayakan asas untuk sesebuah negara; (i) penduduk yang tetap, (ii) wilayah yang dikenalpasti, (iii) kerajaan, dan (iv) keupayaan/kapasiti untuk menjalinkan hubungan dengan negara-negara lain. Manakala dalam buku Oppenheim’s International Law meletakkan 4 syarat yang hampir sama, iaitu; (i) manusia yang membentuk komuniti, (ii) negara yang didiami, (iii) kerajaan, dan (iv) kedaulatan negara.

Dalam perkembangan yang terdekat, peruntukan di atas digunapakai dalam pengiktirafan negara-negara baru seperti negara-negara bekas Soviet Union, Republik Yugoslavia dan Chezchoslavakia. Apabila sesebuah negara itu telah diiktiraf, maka pengiktirannya tidaklah terbatal walaupun kerajaan yang memerintah kemudiannya bertukar secara tidak sah mengikut perlembagaan negara tersebut. Contoh negara baru yang telah diikitiraf di kurun ke 20 ialah ; Tajikistan, Armenia, Kirgiztan, Ukraine, Slovenia, Slovak, Estonia, Latvia dan Lithuania. Manakala contoh negara yang masih belum diiktiraf ialah Chechnya dan Kashmir.

Dalam kes Afganistan, sudah jelas bahawa ia sebuah negara yang sempurna dan sah disisi undang-undang antarabangsa. Ia memenuhi kelayakan di atas, dan telah dan masih menjadi ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

2. Bolehkah dianggap Kerajaan Taliban sebagai kerajaan yang sah?

Seperti yang disebut pada awal tadi, bahawa pengiktirafan sebuah kerajaan adalah suatu perkara yang lain daripada pengiktirafan sebuah negara. Sebuah negara yang diiktiraf belum tentu mempunyai kerajaan yang diiktiraf.

Jika kerajaan tersebut dipilih sebagaimana peruntukan perlembagaan negara tersebut, maka pengiktirafan kerajaan akan dianggap berterusan sebagaimana sebelumnya. Tetapi persoalan timbul jika kerajaan yang baru muncul tidak sebagaimana peruntukan dalam perlembagaan.

Lalu timbul persoalan, apakah yang menentukan samada kerajaan itu dikira sah atau tidak? Penyelesaian yang baik boleh didapati dalam Tinoco Arbitration, iaitu satu pertikaian antara Great Britain dan Costa Rica. Pada tahun 1917, Frederico Tinoco telah merampas kuasa di Costa Rica dalam satu kudeta. Kerajaannya telah membuat satu perjanjian usahasama dengan syarikat dagangan British. Pada tahun 1919, Tinoco telah digulingkan dan kerajaan yang baru telah membatalkan kontrak yang disebutkan tadi. Great Britain memohon pampas an gantirugi daripada Costa Rica bagi pihak syarikat tersebut. Isu utama dalam perbicaraan ialah status rejim Tinoco daripada kacamata perundangan antarabangsa. Dalam kes ini, telah diputuskan bahawa, rejim Tinoco adalah kerajaan Costa Rica yang diakui kerana ia mempunyai kawalan yang berkesan (effective control) ke atas Costa Rica. Walaupun ia tidak diiktiraf oleh banyak negara, termasuk Great Britain, namun tindakan tersebut tidak memjejaskan status rejim tersebut.

Daripada kes tersebut, jelas bahawa pengiktirafan rasmi daripada negara-negara dunia tidak menjejaskan status sesebuah kerajaan. Yang menjadi kayu ukur ialah samada ianya mempunyai pengawalan yang berkesan dalam negara tersebut. Hujah ini dikuatkan lagi dengan satu doktrin yang dinamakan Doktrin Estrada, yang diformulakan oleh seorang Setiausaha Hubungan Luar Mexico. Doktrin tersebut menyebut bahwa, pertukaran sesebuah kerajaan adalah urusan dalaman sesebuah negara, dan tidak melibatkan undang-undang antarabangsa atau negara-negara lain. Negara yang menggunapakai doktrin ini tidak akan mengiktiraf mana-mana kerajaan, walaupun secara berterusan mengiktiraf status negara. Pada masa ini, ia mula diterima pakai oleh kebanyakan negara, termasuk Amerika Syarikat, England, Perancis dan Sepanyol.

Dalam kes Afghanistan, saya merasakan bahawa kerajaan Taliban mempunyai kawalan yang efektif ke atas negaranya, tanpa mengira 10% yang dikuasai kerajaan campuran. Ini dapat dibuktikan dengan penggubalan undang-undang, walaupun agak ketat, seperti melarang wanita memandu dan bekerja, wajib menyimpan janggut dan pengwalan stesen penyiaran yang ketat. Tanpa kawalan berkesan, maka sudah tentu Taliban tidak mampu untuk menggubal peraturan seperti itu, apatah lagi untuk menguatkuasakannya.

Walaupun terdapat penentangan daripada Pakatan Utara, namun umumnya mengetahui setakat mana penguasaan Taliban terhadap 90 peratus Afghanistan dan keberkesanan kuasa yang dimiliki. Penentangan dalaman seperti Pakatan Utara tidak semestinya boleh menghapuskan hak Taliban untuk diiktiraf sebagai sebuah kerajaan yang baik. Pengiktirafan boleh diberikan walaupun dalam keadaaan kestabilan diragui terganggu, asalkan kerajaan yang ada mempunyai kawalan yang effektif. Pengiktirafan seperti ini dinamakan sebagai ‘de facto recognition’.

3. Jika benar Osama Laden perlu didakwa, siapa yang berhak untuk membicarakannya?

Isu yang paling penting ialah, siapa yang mempunyai bidang kuasa ke atas Osama? Dalam undang-undang antarabangsa, terdapat beberapa kaedah yang menentukan bidang kuasa untuk membicarakan seseorang pesalah dalam undang-undang antarabangsa.

a) Bidang kuasa berasaskan wilayah (territorial jurisdiction)

Dalam kaedah ini, pesalah akan dibicarakan dalam mahkamah di mana dia melakukan kesalahan tersebut. Kaedah ini menekankan bahawa, sesebuah negara itu berhak membicarakan pesalah yang melakukan kesalahan dalam negaranya sebagai tanda kedaulatan dan kuasa negara tersebut. Negara berhak membicarakan tertuduh walaupun ianya merupakan warga negara asing, sebagai yang berlaku dalam kes Holmes v Bangladesh Binani Corporation [1989] 1 AC 1112 p.1137.

b) Bidang kuasa berasaskan kewarganegaraan.

Kaedah ini memberikan kuasa kepada negara asal seseorang tertuduh untuk membiacarakannya, walaupun kesalahan tersebut berlaku di negara lain. Namun bidang kuasa ini hanya diperolehi jika tertuduh hadir secara fizikal dalam negara asal tersebut. Contohnya David, seorang rakyat Malaysia telah melakukan rompakan di India, dan akhirnya pulang ke tanahair. Apabila tiba di Malaysia, mahkamah Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk perbicaraan. Jika David berada di luar negara, maka bidang kuasa tersebut tidak akan wujud.

Contoh yang pernah berlaku ialah dalam kes Blackmer v US, apabila mahkamah Amerika membicarakan rakyatnya yang telah menawan tebusan di Perancis.

c) Bidang kuasa berasaskan teori ‘Passive Personality Principle’

Mengikut prinsip ini, sesebuah negara mempunyai bidang kuasa untuk bicara seseorang individu jika kesalahan tersebut telah atau akan menjejaskan kepentingan negaranya. Dalam Cutting’s case, seorang rakyat Amerika telah dibicarakan oleh Mexico kerana menerbitkan kenyataaan memfitnah seorang rakyat Mexico. Amerika dan Britain pada awalnya mengkritik kaedah ini, manakal ia diterima oleh Mexico, Brazil dan Italy.

Walaupun mengkiritik pada awalnya, tetapi kini Amerika mula menggunapakai kaedah ini, terutamanya untuk mengawal kegiatan pengganans. Dalam kes US v Yunis, Amerika menuntut hak bicara ke atas warganegara Lubnan kerana merampas sebuah kapalterbang Jordan, yang mana dinaiki oleh beberapa orang warga Amerika.

d) Bidang kuasa berasaskan teori ‘Protective Principle’

Mengikut teori ini, sesebuah negara berhak membicarakan individu bukan warganegaranya, malah melakukan kesalahan bukan di negaranya. Kesalahan yang dimaksudkan seperti sesuatu yang prejudis terhadap keselamatan, integriti dan kepentingan negara tersebut. (contohnya; mencetak wang palsu, konspirasi menjatuhkan kerajaan, dll).

Dalam kes Joyce v Director of Public Prosecutor, kerajaan British telah membicara seorang warga Amerika dan bekerja sebagai propagandis di radio Jerman. Dalam kes ini, tertuduh dengan cara yang salah dan jahat telah mendapatkan passport England, dan dikira boleh menjejaskan hak dan integriti negara tersebut. .

e) Bidang kuasa berasaskan teori ‘ Universality Principle’

Setiap negara mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kesalahan-kesalahan yang dianggap sebagai mencabuli hak dan kepentingan komuniti dunia. Terdapat dua kesalahan yang sering dikira termasuk di bawah kaedah ini, iaitu kegiatan lanun dan jenayah perang ( walaupun ianya bukanlah sesuatu yang eksostif). Negara yang membicarakan mesti membuktikan bahawa kesalahan tersebut menjadi kesalahan di sisi undang-undang dunia, atau disebut sebagai ‘ jure gentium’.

Dalam Kes Eichmann, tertuduh, Eichmann, adalah perancang kepada pembunuhan lebih daripada 4 juta Yahudi ketika perang dunia kedua, dan berpindah ke Argentina selepas perang. Tanpa pengetahuan Argentina, Mossad Israel telah menculik beliau dan dia dibicarakan di Israel, walaupun negara Israel tidak ada kena mengena dengan pembunuhan Yahudi di Jerman. Mahkamah membenarkan bidang kuasa tersebut setelah mendapati bahawa kesalahan tertuduh adalah bercanggah dengan undang-undang dunia, jure gentium.

Kesimpulan.

Jika dilihat kepada teori-teori yang ada, boleh dikatakan semua negara, samada Amerika, Afghanistan, ataupun mana-mana negara yang menuntut hak bicara, memunyai hujah dan asas kepada tuntutan tersebut. Bagi Amerika, mereka boleh berhujah dengan teori berasaskan wilayah, passive personality principle, protective principle, ataupun universality principle. Bagi Afghanistan pula, mereka boleh merujuk kepada teori wilayah, teori kewarganegaraan (dengan menganggap Osama sebahagian warga Afghanistan), Passive personality Principle, Protective Principle, atau Universality Principle. Semua teori-teori itu boleh dikaitkan dengan tuntutan mendakwa Osama Laden.


Comments:
Dahsyat Kitaro... macam aplikasi pelajaran Public International Law jer... good job my friend!
 
Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?