Thursday, July 27, 2006
MENGUTUK
Masa sekolah menengah dulu, ustaz Kitaro pernah pesan, dalam dunia ni ada 3 perkara paling best; (1) Makan free (2) Buat jahat (3) Mengutuk orang!
Tindakan ganas askar Israel melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Palestin dan Lebanon telah meragut lebih banyak nyawa termasuk kanak-kanak.
Penduduk Palestin membawa seorang pejuang negara itu yang mengalami kecederaan parah akibat dibedil askar Israel di Bandar Gaza, semalam.
Kejadian menyayat hati di atas bukanlah di kalangan orang kenamaan atau merupakan pemerhati PBB. Nyawa dan darah mereka umpama tiada nilai dan pertubuhan-pertubuhan dunia seperti PBB, NAM, ASEAN dll hanya mampu MENGUTUK sebagai 'mendesak' agar Israel melakukan genjatan senjata sekaligus menghentikan serangan ke atas Lubnan.
Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kini sedang lantang mengajak umat dunia MENGUTUK kezaliman Israel. Beliau mendesak ASEAN mahupun PBB untuk bertindak segera menyelesaikan konflik Asia Barat.
"Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang prihatin dengan perkembangan terkini di Asia Barat hari ini menggesa ASEAN lebih lantang menyuarakan penentangan terhadap keganasan Israel dan tidak lagi bertolak ansur dengan penindasan ke atas penduduk Palestin dan Lebanon." (PM, 26 Julai 2006)
"Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengajak umat Islam seluruh dunia bersatu membangunkan kekuatan ummah setelah melihat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sepatutnya berupaya mempertahankan mereka di masa krisis gagal dan tidak bermaya berbuat demikian." (PM. 26 Julai 2006)
Lantas ASEAN menjalankan tugas 'MENGUTUK' Israel dengan kenyataan;
"ASEAN mengecam serangan dan pencerobohan Israel ke atas Lebanon dan Palestin sambil menggesa masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera melaksanakan gencatan senjata di rantau Asia Barat.
ASEAN mahu apa juga usaha disegerakan bagi mengelakkan suasana di rantau Asia Barat meruncing dan pada masa yang sama menghidupkan semula proses rundingan damai." (ASEAN, 25 Julai 2006)
Namun, OIC masih tiada apa-apa tindakan. Walhal yang mendesak ASEAN mahupun PBB adalah Pengerusi OIC. Maka bangkitlah anakanda Tun Dr. M, Datuk Mukhriz Mahathir mendesak Pak Lah agar menggerakkan OIC;
"Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mengadakan sidang tergempar bagi mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak tegas terhadap rejim Zionis berikutan serangan ke atas Lebanon yang semakin menjadi-jadi. Mesyuarat itu perlu untuk membincangkan situasi terkini krisis yang sedang berlaku serta mencari resolusi bagi mengatasinya." (Utusan Malaysia, 25 Julai 2006)
Di kala negara-negara asyik mendsak itu dan ini, persidangan demi persidangan dilakukan, hari ini gempar satu dunia apabila 4 orang pemerhati PBB dibunuh tentera Israel. Menghairankan ialah isu ini dilihat lebih besar daripada ribuan manusia yang telah terbunuh di Lubnan apatah lagi di Palestin. Disebabkab nyawa 4 orang pemerhati PBB lebih penting dari nyawa-nyawa rakyat Lubnan dan Palestin, barulah timbul desakan dari KUTUKAN dari Kofi Annan, Setiausaha Agung PBB.
Duta Perancis yang juga Presiden Majlis Keselamatan PBB, Jean-Marc de La Sabliere berkata: "Kami mengutuk pengeboman ke atas kedudukan anggota badan dunia itu."
Presiden Republik Rakyat China, Hu Jintao menyuarakan rasa kesal dan mengarahkan Kementerian Luar supaya mengeluarkan kenyataan mengecam serangan tersebut.
Ini hanyalah pura-pura dan sandiwara belaka. Mereka Kenapa sekarang baru PBB kelam-kabut untuk mengutuk Israel itupun selepas 4 orang pemerhati PBB dibunuh. Samada ASEAN, NAM, OIC... kerja mereka hanyalah MENGUTUK Israel. Namun, gambar-gambar menyayat hati di atas akan terus bertambah dan hanya menjadi tatapan dunia. Israel tetap menyerang Lubnan dan tetap menceroboh kedaulatan bumi Palestin.
Israel tetap diiktiraf oleh majoriti negara dunia termasuk China dan Perancis. Malaysia juga mengiktiraf 'Negara Israel' dengan menjemput mereka sebagai wakil Israel dalam kejohanan Ping-Pong dan juga Kriket suatu ketika dahulu. Rakyat yang turun ke jalanan mengadakan perhimpunan membantah kemasukan Israel ditangkap, dipukul dan didakwa.
Sejak 1948, Israel telah berjaya menceroboh ke bumi berdaulat Palestin. Bermula 1949, melalui perjanjian 'damai', Israel meluaskan pencerobohan. Di dalam 'Perang 6 Hari' pada Jun 1967, Israel menjajah Semenanjung Sinai (termasuk jalur Gaza) kemudian disusuli Tebing Barat yang merupakan sebahagian dari Jajahan Negara Jordan.
Lantas pada 22 November 1968, Majlis Keselamatan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meluluskan Resolusi 242 yang melarang sebarang pendekatan melalui peperangan. Tetapi Israel tidak pernah peduli. Mereka melakukan apa sahaja tanpa memandang walau sebelah mata pada 'undang-undang antarabangsa'.
Walaupun kini banyak negara tidak henti MENGUTUK Israel, tetapi mereka lupa pada masa yang sama mereka mengiktiraf Negara HARAM Israel. Dalam erti kata lain, selagi dunia mengiktiraf kewujudan Negara Israel, selagi itu mereka mempunyai segala kuasa di dunia untuk melakukan segalanya.
'The Thing Speaks by Itself'