Wednesday, October 03, 2007
REEZAL MERICAN... YOU'RE IN TROUBLE!!!
Tahniah buat warga Taman Ilmu dan Budi kerana tidak memberi ruang kepada Pro-Aspirasi menguasai MPP untuk kesekian kalinya. Walaupun keputusan di UIAM ternyata berbeza dari universiti-universiti yang lain, namun tentu ada sebabnya yang amat kukuh menyebabkan penghuni Taman Ilmu dan Budi menolak REJIM Aspirasi yang jelas diketahui sebagai budak-budak suruhan UMNO.
Kitaro mengucapkan tahniah kepada para petugas jentera pro-mahasiswa di UIA yang bekerja keras dan bertungkus-lumus sepanjang persediaan menghadapi pilihanraya kampus yang mengambil masa setahun! Anda berhak meraikannya dan memanjatkan rasa syukur pada yang Maha Kuasa. Begitu hebat kasih Allah pada pendokong gerakan mahasiswa Islam.
Namun, kemenangan ini Kitaro sifatkan hanya umpama di peringkat pusingan kelayakan dan kini mahasiswa pro-mahasiswa UIA sudah melayakkan diri ke pusingan akhir seterusnya melangkah ke peringkat yang lebih jauh.
Cabarannya sengit kerana padang permainan tidak sama rata. 'Mereka' yang bakal menghalang anda adalah puak-puak yang diberikan amanah oleh rakyat untuk mendokong dasar pendidikan negara di peringkat menara gading dan mereka yang diberi kepercayaan menggunakan wang rakyat untuk menjulang nama universiti. Namun, amanah itu dikhianati kerana separuh dari tugas mereka digunakan menumpu pada 'bagaimana mencantas kemudahan' mahasiswa yang bukan 'budak suruhan UMNO' untuk bertugas bagi memenuhi amanah sebagai ahli MPP.
Pusingan Akhir
Untuk mara ke peringkat suku akhir, drama kelulusan kabinet MPP bakal menjadi sandiwara ulangan. Drama ini bukanlah baru. Kita di era kepimpinan Sdr. Wan Nazrul Helmy (2002/2003), kelambatan kabinet diluluskan adalah kerana alasan mahukan Presiden MPP dari pelajar antarabangsa atas dasar inetgrasi. Namun kelewatan hanyalah sekitar 2 minggu. Pada sesi 2003/2004 sewaktu MPPUIA di bawah kepimpinan Muhtar Suhaili, sekali lagi kelewatan kelulusan kabinet dipentaskan atas alasan sama ditambah alasan mahukan Presiden MPP dari seorang mahasiswi. Kelewatan kabinet diluluskan berlarutan hingga 3 minggu.
Sewaktu Zarifi Daud menjadi Presiden MPP, beliau turut menghadapi kesusahan untuk menerajui organisasi pelajar terbesar UIA hanya kerana beliau didakwa sebagai pro-pembangkang tanpa sebarang bukti kukuh dan jelas!
Tiba-tiba, setelah peristiwa BOIKOT besar-besaran berlaku dalam sejarah mahasiswa justeru memberi ruang kepada Aspirasi UIA (bukan semua, malah kerusi Presiden gagal diperoleh oleh Aspirasi) memimpin MPP, dalam masa 2 minggu selepas keputusan pilihanraya kampus, kabinet MPPUIA siap diluluskan dan mengikuti kursus induksi anjuran HEP!
Cabaran paling sengit untuk layak ke suku akhir ialah pada sesi lalu di bawah kepimpinan Sdr. Zukhairi. Bayangkan, selamam 4 bulan lebih, MPPUIA dibiarkan tergantung tak bertali!!! Tiada poster, tiada pejabat, tiada budget, tiada segalanya!
Adakah insiden ini akan berulang? Ya benar, hanya Menteri KPT; Mustapa Mohammed, Reezal Merican dan sahabat karibya, Syed Idid Arabi yang tahu.
Suku Akhir
Jika MPPUIA sesi ini berjaya ke suku akhir dan untuk layak ke separuh akhir juga tidak kurang peritnya. Cabarannya ialah mengisi kemenangan. Apa yang pasti, halangan utama MPPUIA untuk layak ke separuh akhir adalah seperti berikut;
- Menerima penasihat MPPUIA yang mengongkong dan menyusahkan MPPUIA dengan pelbagai karenah birokrasi.
- Karenah birokrasi dalam meluluskan program-program MPP.
- Budget 'ciput' yang diberikan oleh pentadbiran untuk MPPUIA melaksanakan agenda kebajikan pelajar.
- MPPUIA dianaktirikan. Jika ada lawatan akademik ke luar negara dan ruang itu sepatutnya diberi pada MPP, maka MPP dianaktirikan dengan ruang tersebut diberi pada mana-mana pimpinan tertinggi GPMS.
Walaupun MPPUIA adalah pertubuhan pelajar terbesar di UIA, namun jika ada dasar dan polisi digubal yang melibatkan pelajar, MPPUIA tidak pernah dirujuk dan dijemput bersama dalam proses membuat keputusan. - Sepanjang tahun, MPPUIA akan dipinggirkan di peringkat kebangsaan khasnya oleh Kementerian Pengajian Tinggi atas alasan kepartian!
Namun awas! Reezal Merican sedang berfikir teruk bagaimana untuk 'cover' semula kegagalannya menjadikan UIA sebagai cengkaman imperalism UMNO. Kita tak tahu apa lagi yang bakal diarahkannya pada Syed Arabi.
- Jangan luluskan kabinet langsung?
- Jangan lulus apa-apa program MPP?
- Cari kesalahan calon yang menang untuk dibatalkan kemenangan?
- Pecat exco MPP kerana kesalahan yang direkacipta?
- Pastikan GPMS diberi hak istimewa berbanding MPPUIA?
Semuanya tidak mustahil bagi Reezal Merican!
Separuh Akhir
Peringkat separuh akhir ialah ketika di separuh penggal sesi pemerintahan MPP. Ketika ini, MPP akan sibuk dengan projek-projek besar seperti kemasukan pelajar baru dan pesta konvokesyen.
Ironinya, sehingga tahun 2001, MPPUIA mempunyai hak untuk menganjurkan program suai kenal (Ta'aruf Week) di bawah Sekretariat Setiausaha MPP. MPPUIA diberi kuasa sepenuhnya untuk menganjurkan program suai kenal selama seminggu dengan kerjasama pihak universiti. Malah, diselitkan satu sesi khas selama 1 jam setengah untuk pelajar baru mengenali MPP!!!
Sayangnya, itulah kali terakhir. Selepas itu, MPP dicabut hak menganjurkan Ta'aruf Week dan MPP hanya diberi 30 minit maksima untuk bersama pelajar ketika program tersebut yang kini dianjurkan oleh HEP sendiri melalui 'budak-budak' mereka. AJK ditapis agar mahasiswa yang didakwa pro-mahasiswa khasnya exco MPP tidak menjadi AJK Ta'aruf Week.
Begitu juga dengan pesta konvokesyen. Jika kali terakhir pada sesi 2003/2004, Pesta konvo atau CONVEST adalah sepenuhnya di bawah Sekretariat Bendahari MPPUIA, namun MPPUIA sudah disempitkan hak mereka. MPPUIA hanya bertanggungjawab menganjurkan Majlis Pembukaan yang dihadkan pelbagai kemudahan dan beberapa program kecil sahaja.
Inilah dia sebahagian dari sepak terajang sepanjang peringkat separuh akhir!
Peringkat Akhir
Akhir? Sebenarnya, tiada akhir dalam perjuangan mahasiswa. Perjuangan mahasiswa adalah perjuangan yang tidak bernoktah. Kezaliman akan terus wujud di dunia ini. Dan selagimana kezaliman terus wujud, selagi itulah perjuangan mahasiswa akan diteruskan. Walaupun pro-mahasiswa di UIA telah melalui pelbagai keperitan dan kesusahan dalam mempertahankan MPPUIA. Tak cukup bajet, program batal, program lambat lulus, tidak benarkan masuk pejabat MPP sehinggalah dilambatkan kelulusan kabinet, namun pro-mahasiswa UIA telah berjaya mengisi kemenangan dengan gaya dan cara mereka tersendiri.
Terima kasih mahasiswa UIA kerana terus menyokong pro-mahasiswa dan menterjemahkannya dalam undi anda. Selamat maju jaya MPPUIA sesi 2007/2008!